JASIN – Seorang lelaki dan anak saudaranya berusia 17 tahun diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun ke atas seorang peniaga pasar mini dalam dua serbuan berasingan di sini, Sabtu lalu.
Suspek berusia 30 tahun dan remaja lelaki terbabit ditahan di kediaman masing-masing di Jalan Segenting serta Kampung Bukit Larang antara pukul 1.30 pagi sehingga 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kedua-dua suspek diberkas selepas polis menerima satu laporan berhubung kejadian samun menggunakan senjata pisau pemotong daging di Taman Jasin Bestari, Bemban, 11 Jun lalu.
Katanya, dalam kejadian tersebut, pengadu, seorang peniaga wanita sebuah pasar mini berusia 55 tahun turut mengalami kecederaan di tangan kiri akibat bergelut dengan suspek yang melarikan telefon bimbitnya.
“Hasil risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin berjaya memberkas suspek pertama berusia 30 tahun dan anak saudaranya berusia 17 tahun.
“Kejadian ini telah didalangi oleh suspek pertama yang menunggang motosikal dan membawa remaja terbabit untuk melakukan samun dengan menyasarkan kedai runcit,” katanya pada sidang akhbar di IPD Jasin, di sini hari ini.
Jelasnya, hasil semakan lanjut, suspek pertama didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan samun dan dadah dalam kejadian di Kuala Lumpur.
“Sebelum ini dia bekerja di sebuah restoran di Kuala Lumpur dan mempunyai tiga rekod samun membabitkan kedai serbaneka 24 jam di Kuala Lumpur serta kesalahan dadah.
“Suspek kemudian pulang ke kampung dan melakukan jenayah sama, namun kali ini dia turut mengajak anak saudaranya itu,” katanya.
Tambahnya, hasil samun itu akan dijual suspek bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.
Mispani berkata, saringan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- K!ONLINE