fbpx

Doktor pelatih didakwa lakukan seks di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang doktor pelatih lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan melakukan seks tanpa kerelaan seorang pesakit di wad sebuah hospital di sini pada tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 29 tahun didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 25 tahun di wad hospital itu pukul 4.30 pagi, 5 September 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Lelaki itu turut didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul mangsa sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Ain Shafie dan Khairunnisak Hasni masing-masing menawarkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kes di Mahkamah Majistret.

Peguam Yuvaraj Sugapathy memohon jaminan rendah ke atas anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam dan masih dalam tempoh latihan praktikal di hospital (housemanship).

Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin pula ditetapkan oleh Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Kedua-dua mahkamah menetapkan syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di balai polis terdekat pada setiap awal bulan selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 15 Julai ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI