KAJANG – Perbuatan seorang pengawal keselamatan yang mencuri sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM20 milik pemandu e-hailing membawa padah apabila dia dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Shah Azwan Abdullah, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebuah telefom bimbit jenis Redmi Note 5 Plus dan wang tunai RM20 milik Tyndale Hiew Ten Der, 47.
Kesalahan itu dilakukan dalam kereta di tepi jalan, Jalan Jasmin di sini pukul 11 malam pada 9 Jun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kosmo! Online 11 Jun lalu melaporkan seorang pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila disamun penumpangnya menggunakan pisau ketika menurunkan mereka di Taman Jasmin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, berdasarkan laporan yang dibuat mangsa pada pukul 12.46 tengah malam, dia disamun ketika mahu mengambil bayaran tambang daripada suspek.
Mangsa yang berusia 47 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.K! ONLINE