PETALING JAYA – Seramai 9,918 orang asnaf yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telah menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang saku daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 27 April lalu.
Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan Global TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, TNB memperuntukkan sejumlah RM420,000 untuk program-program penyerahan bantuan keperluan asas tersebut bagi memenuhi komitmennya sebagai warga korporat yang prihatin.
“Sumbangan barangan berupa beras, gula, telur, biskut, serbuk teh, tepung, kurma, barangan dapur dan lain-lain itu diedarkan menerusi pelbagai program anjuran TNB bagi meringankan beban penerima sepanjang Ramadhan dan Syawal, selain menceriakan sambutan dua bulan yang mulia itu.
“Sumbangan kecil kami ini harap dapat meringankan beban keluarga penerima bantuan dan pada masa yang sama mengeratkan silaturahim kami dengan masyarakat yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Ariff berkata, berikutan pelaksanaan PKP 3.0, sebahagian bantuan diserah secara terus oleh warga kerja TNB dari rumah ke rumah, termasuk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Selain berkongsi rezeki bersama golongan yang terkesan akibat kekangan PKP 3.0 ketika ini, TNB juga menyokong usaha pelaksanaan program vaksinasi negara dengan memastikan hampir semua warga kerja TNB mendaftar untuk vaksinasi.
“TNB juga memastikan bekalan elektrik ke Pusat Pemberian Vaksinasi dan Pusat Simpanan Vaksin berada dalam keadaan baik dan teratur,” tambahnya. – K! ONLINE