KOTA BHARU – Seorang juruteknik komputer sedang mencari ibu kandung kepada anak angkat yang dijaganya sejak empat tahun lalu untuk menjalankan pengesahan Surat Akuan Berkanun (Surat Keizinan Pengangkatan) bagi penyerahan kanak-kanak itu secara sah.
Siti Nurhaliza Mustapa, 36, yang berasal dari Kampung Binjai Satu, Kedai Mulong di sini berharap dia dapat menemui semula ibu anak angkatnya, Zaratulnis Bibi Iris Abdul Rahman,6, untuk melengkapkan prosedur itu.
Katanya, ibu Zaratulnis Bibi dikenali sebagai Murni Shahila Mohd. Salleh,36, dicari bagi membolehkan anak angkatnya itu didaftarkan mengikut Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253).
“Sebelum ini, wanita itu tinggal di Kampung Temalir, Kuala Krai, namun usaha mengesannya menemui jalan buntu selepas dia telah berpindah ke kawasan lain tanpa pengetahuan jiran-jiran.
“Nombor telefon yang digunakannya juga sudah tiada dalam perkhidmatan. Saya perlu berjumpa dengannya untuk menyelesaikan urusan berkaitan anak angkat dengan segera sebelum dia masuk ke alam persekolahan nanti,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Murni Shahila boleh menghubungi Siti Nurhaliza di talian 011-1077 1245. – K!ONLINE