PUTRAJAYA – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menafikan dakwaan pihaknya menggunakan data peribadi untuk mendaftarkan orang awam sebagai anggota secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan.
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, perbuatan tersebut bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Dakwaan menggunakan data peribadi seseorang lain untuk didaftarkan sebagai anggota Rela secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rela berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuat kuasa.
“Rela tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit,” katanya.
Menjelaskan mengenai keahlian, Rela memaklumkan bahawa permohonan untuk didaftarkan sebagai anggota Rela hendaklah dibuat secara bertulis kepada Ketua Pengarah seperti dinyatakan Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota Rela, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) tahun 2012.
“Di bawah seksyen ini dinyatakan seseorang berumur 18 tahun dan ke atas yang berupa seorang warganegara dan bukan anggota angkatan tentera atau mana-mana pasukan atau skim sukarelawan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota Rela,” katanya.
Manakala, Seksyen 5(1) Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan-Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 Pindaan 1 Februari 2005 (telah dibatalkan) menyatakan kecuali diperuntukkan kemudiannya, setiap orang lelaki yang telah mencapai umur 18 tahun dan orang yang belum mencapai umur 55 tahun hendaklah bertanggungan untuk berkhidmat dalam Ikatan Relawan Rakyat.
Terdahulu tular di media sosial mengenai dakwaan beberapa individu yang maklumat peribadi mereka didaftarkan sebagai anggota Rela secara automatik di dalam sistem MyRELA. -K! ONLINE