JAKARTA – Penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) mengesahkan dirinya positif Covid-19.
Perkara tersebut dikongsi sendiri BCL menerusi satu hantaran Instagramnya malam tadi yang memaklumkan bahawa keputusan ujian calitannya disahkan positif.
Ibu kepada Noah Sinclair itu bagaimanapun tidak memaklumkan punca jangkitan virus tersebut.
“Saya baru sahaja mendapat keputusan hari ini dan hasilnya positif Koronavirus.
“Kini saya dalam tempoh kuarantin kendiri dan Insya-Allah akan pulih sepenuhnya tidak lama lagi,” tulis balu Allahyarham Ashraf Sinclair itu.
Sempat menitipkan pesanan, pelakon filem Habibie & Ainun itu mahu semua pihak mengambil langkah selamat untuk kekal sihat.
“Sila jaga diri anda dan orang kesayangan. Bina sistem imunisasi dan tolong ambil perkara ini secara serius,” katanya lagi.
Beberapa minggu lalu, BCL menarik perhatian ramai menerusi gambar-gambar percutiannya di Pulau Bali. – K! ONLINE