PETALING JAYA – Akronim tanda pagar Rela atau nama lengkapnya Jabatan Sukarelawan Malaysia sohor kini di laman Twitter apabila diciap lebih 22,300 kali oleh pengguna media sosial itu sejak semalam.
Kebanyakan netizen meluahkan rasa terkejut dan hairan apabila mendapati nama mereka didaftarkan sebagai ahli Rela walaupun tidak pernah mengemukakan permohonan untuk menganggotai jabatan itu.
Berdasarkan semakan, rata-rata mereka telah didaftarkan sekitar tahun 2010 dan 2011 dan mendakwa tidak melakukannya secara sukarela.
“Saya cuba memeriksa dan lihatlah. Saya adalah anggota Rela sejak 2011. Jadi siapa yang kakak hendak jumpa untuk ambil uniform,” ciap seorang pengguna Twitter bernama Oodie.
Terdapat juga pengguna di laman sosial Facebook yang meluahkan rasa bimbang dan mengaitkan isu tersebut dengan kes penyalahgunaan data peribadi.
“Saya sudah semak. Saya tidak pernah daftar jadi ahli Rela. Bagaimana boleh ada data saya di situ? Hendak buat laporan di mana ya?,” soal seorang netizen.
Tinjuan Kosmo! di laman web rasmi Rela hari ini mendapati sistem laman web tersebut dalam proses penyelenggaran.
Ketua Pengarah Rela, Yahya Sulaiman dalam satu makluman ringkas berkata, pihaknya akan menyediakan kenyataan sebaik sahaja maklumat berkaitan isu tersebut diperoleh. – K! ONLINE