PETALING JAYA – Boustead Properties Bhd. (Boustead Properties) menawarkan pengecualian dan rebat sewa, selain bantuan komersial serta lain-lain sokongan berjumlah kira-kira RM18 juta kepada hampir 350 penyewa di enam hartanah komersialnya di seluruh negara.
Inisiatif tersebut diberikan kepada peniaga dan syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi masalah aliran tunai ketika berdepan dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Boustead Properties, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sepanjang PKP 1.0 dan 2.0, Kumpulan telah menawarkan pengecualian dan rebat sewa kepada penyewa dalam pelbagai kategori perniagaan serta perkhidmatan yang penting dan kritikal.
Menurut beliau, di the Curve dan Curve NX, penyewa terdiri daripada pengusaha gerai, kedai serbaneka, fesyen dan aksesori, pusat didik hibur, pusat penjagaan kanak-kanak dan pusat bahasa, kedai makanan dan minuman, farmasi, klinik gigi serta perkhidmatan kewangan.
“Kami memahami keperluan kitaran penuh komuniti perniagaan dan membuat keputusan bahawa sekarang adalah masa yang tepat dan penting untuk membantu penyewa yang kami juga anggap sebagai rakan niaga strategik, sekali gus dapat melindungi kebajikan pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Mohamed Khaled menambah, bagi bangunan komersial milik Boustead Properties, tawaran pengecualian dan rebat sewa juga telah membantu meringankan beban penyewa di Menara Boustead, Menara Boustead Pulau Pinang, Wisma Boustead dan Nucleus Tower.
Jelasnya, penyewa tersebut menyediakan perkhidmatan guaman, pengurusan aset kewangan, insurans, perdagangan, pelancongan, telekomunikasi, kejuruteraan dan pengiklanan.