fbpx

Menyedihkan jika sekadar nikah di pejabat agama – Ainul Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINUL AISHAH berharap majlis pernikahannya yang dijadualkan hujung tahun nanti dapat berlangsung dalam keadaan tenang terlalu terhimpit dek ancaman Covid-19.

PETALING JAYA – Pelakon Ainul Aishah tidak akan mengendahkan nasihat atau desakan mana-mana pihak  yang menyarankan agar majlis pernikahannya dipercepatkan tanpa perlu menunggu situasi pandemik kembali pulih.

Pelakon berusia 36 tahun itu sebaliknya berkeras mahu mengadakan hari bersejarahnya di samping keluarga tersayang dan teman-teman rapat, bukan sekadar di pejabat agama atau nikah online.

“Saya sudah bertunang dan melalui situasi mencabar dalam merencanakan majlis perkahwinan seperti orang lain ketika Covid-19 melanda.

“Ada yang cadangkan saya nikah dulu tanpa majlis kerana yang penting sudah bernikah tetapi mereka tak memahami saya sebagai pengantin. Saya mahu menjadi diri saya sendiri.

“Sebagai insan sentimental saya sangat menghargai setiap momen. Saya cuma mahukan majlis resepsi ringkas bersama keluarga terdekat dan kawan rapat untuk meraikan hari bermakna ini.

“Bukan di pejabat agama tanpa resepsi atau insan penting di sisi saya. Kalau itulah yang terjadi, hari pernikahan bakal menjadi hari paling menyedihkan dalam hidup saya,” katanya.

Sebagai tanda penolakan, Ainul tidak teragak-agak menunjukkan ekspresi muka tanpa perasaan jika ada pihak yang masih memaksa atau menasihatinya supaya menyegerakan pernikahan.

“Ini bukan kenangan untuk mereka, ini memori dan kehidupan saya. Tolong jangan paksa. Saya takkan dengan sesiapa pun mengenai hari penting saya itu.

“Saya boleh menunggu hingga detik itu sampai. Anda semua boleh bagi macam-macam nasihat tetapi saya hanya akan tunjuk muka,” luahnya lagi.

Jika tiada aral, pelakon Lara Aishah itu merancang mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Redzuan menjelang akhir tahun ini selepas bertunang pada 27 Mac lalu.

Mereka menjalin hubungan sejak April 2017 selepas Ainul atau nama sebenarnya Ainul Aishah Azizun menerima mesej peribadi yang dihantar Khairul melalui Instagram miliknya. – K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI