fbpx

Sepanyol akur gagal jinakkan si keras kepala Sweden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Sweden, Alexander Isak melepasi halangan pemain tengah Sepanyol, Rodri ketika perlawanan Kumpulan E, Euro 2020 di Stadium La Cartuja, Sevilla sebentar tadi. - AFP

SEVILLE – Pasukan Sepanyol terpaksa akur sudah mensia-siakan peluang untuk meraih tiga mata penuh pada aksi pembukaan Kumpulan E, Euro 2020 apabila gagal menjinakkan Sweden yang begitu ampuh di benteng pertahanan.

Pada aksi di Stadium La Caturja itu, skuad La Roja bimbingan Luis Enrique terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas seri 0-0, meskipun Sepanyol mendominasi penuh perlawanan.

Walaupun mengawal sebahagian besar permainan di mana perlawanan lebih dilihat seperti sesi serangan lawan pertahanan, namun Sepanyol masih gagal menggunakan kelebihan untuk merempuh masuk benteng Sweden menerusi pelbagai taktikal.

Peluang terbaik Sepanyol untuk menembusi gawang hadir apabila penyerang, Alvaro Morata yang berada dalam kotak penalti melakukan percubaan selepas bola gagal dikeluarkan oleh pertahanan Sweden, Marcus Danielson, namun hanya tersasar.

Selain percubaan Morata, Sepanyol juga hampir memecah kebuntuan menerusi tandukan jarak dekat pemain sayap, Dani Olmo, bagaimanapun bola itu berjaya ditepis penjaga gol, Robin Olsen selain percubaan Koke dalam kotak penalti juga tersasar.

Sementara itu, Sweden pula memperoleh peluang terbesar menerusi Pemain Muda Terbaik Tahunan La Liga, Alexander Isak yang merembat masuk bola, namun tertampan pemain pertahanan, sebelum bola terkena tiang gol dan terus ke dakapan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.

Isak juga berjaya membuka ruang kepada rakan sepasukan, Marcus Berg ruang untuk menyumbat gol, namun rembatan jarak dekat hanya singgah di belakang jaring gawang.

Keputusan seri sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada para penyokong Sepanyol memandangkan sebelum ini resah dengan persiapan skuad La Roja yang dibayangi masalah jangkitan Covid-19.

Keputusan tersebut juga menyaksikan Slovakia yang beraksi lebih awal memiliki kelebihan berada di takta Kumpulan E selepas mengejutkan Poland 2-1. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI