SAINT PETERSBURG – Slovakia memanfaatkan sepenuhnya situasi Poland yang beraksi dengan 10 pemain apabila mencatat kemenangan 2-1 pada aksi Kumpulan E, Euro 2020 di Stadium Krestovsky sebentar tadi.
Dua gol menerusi jaringan sendiri penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny dan pemain pertahanan, Milan Skriniar memastikan skuad kendalian Stefan Tarkovic memperoleh tiga mata berharga.
Meskipun Poland dilihat menguasai sebahagian besar permainan selain diketuai penyerang prolifik Eropah, Robert Lewandowski, namun mereka gagal untuk memulakan kempen Euro 2020 dengan langkah kanan.
Slovakia yang banyak melakukan serangan balas pantas berjaya menjaringkan gol pembukaan selepas percubaan Robert Mak pada minit ke-18 terkena tiang sebelum tertampan badan Szczesny ke dalam gol.
Tersentak dengan gol tersebut, Poland yang dibimbing Paulo Sousa meningkatkan tempo permainan dengan melancarkan serangan ke arah pintu gol Slovakia, namun aksi separuh masa pertama tamat dengan 1-0.
Sebaik aksi separuh masa kedua bermula, Poland tidak menunggu lama apabila hanya memerlukan 30 saat untuk menyamakan kedudukan selepas Karol Linetty menolak masuk hantaran yang dilakukan Maciej Rybus.
Kemudian, rentak Poland sedikit terjejas apabila pemain tengah, Grzegorz Krychowiak dilayangkan kad merah pada minit ke-62 selepas menerima kad kuning kedua akibat kekasaran ke atas Jakob Hromada.
Situasi itu digunakan sebaiknya oleh Slovakia apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi Skriniar yang merembat masuk sepakan penjuru kapten, Marek Hamsik tujuh minit kemudian.
Pada minit ke-91, Poland hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi pemain pertahanan, Jan Bednarek tetapi sepakannya sedikit tersasar meskipun penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka sudah tertewas. – AGENSI