TEMPURUNG kepala terpaksa dibuang akibat pendarahan dalam otak, rahang, tulang belakang serta rusuk retak. Itu kecederaan yang dialami seorang pegawai wanita sebuah jabatan kerajaan di Johor yang menjadi mangsa disyaki dipukul suaminya sendiri.
Nasib malang yang menimpa wanita berusia 43 tahun itu berlaku di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor Bahru pada 4 Mei lalu.
Menurut cerita adik mangsa yang dikenali sebagai Fazariah, 38, kakak sulung daripada tujuh beradik itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 4 Mei lalu selepas rakan kepada suami wanita itu menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sebelum melarikan diri.
Fazariah berkata, dia menerima berita itu sehari selepas mangsa dikejarkan ke hospital menerusi panggilan telefon daripada abang iparnya yang juga suspek utama kejadian.
Penulis mengikuti rapat perkembangan kes keganasan rumah tangga yang dihadapi wanita yang berasal dari Sabah itu. Pasangan tersebut mendirikan mahligai impian pada 7 September tahun lalu dan ketika kejadian, mangsa mengandung empat minggu.
Selepas 38 hari bersembunyi, lelaki durjana terbabit berjaya ditangkap ketika keluar membeli makanan di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 11 Jun lalu.
Di mana letaknya hati nurani peri kemanusiaan daripada seorang lelaki yang bergelar suami. Isteri untuk disayangi dan dilindungi, bukannya karung tinju (punch bag) untuk melepaskan geram. Di mana silapnya?
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan, manakala merujuk kepada statistik Talian Kasih KPWKM, dalam tempoh sama, sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga telah diterima.
Dalam tempoh empat bulan pertama untuk tahun 2021 sejak Januari lalu, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan.
Statistik ini menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak.
Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada terjadinya keganasan rumah tangga.
Antaranya faktor persekitaran seperti masalah kewangan, hubungan, tekanan kerja selain faktor budaya yang mana sifat lelaki lebih dominan untuk mengawal gerak-geri wanita.
“Perselisilihan faham dalam rumah tangga itu adalah normal, namun pasangan harus menanam sifat tolak ansur, komunikasi dua hala serta saling menghargai pasangan,” katanya.
Pasangan juga perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada individu yang boleh dipercayai terutamanya saudara terdekat.
“Jika ada sesuatu masalah dalam hubungan rumah tangga, kebanyakan pasangan akan pendam dan mereka akan cari orang yang boleh mendengar permasahan yang dihadapi.
“Kalau jumpa dengan orang baik, mereka akan selamat, kalau jumpa yang sebaliknya, itu sebab berlakunya kes curang dan sebagainya,” ujar beliau.
Pasangan suami isteri perlu menghangatkan kembali hubungan rumah tangga dengan mengimbau kembali saat-saat manis ketika bercinta atau seawal usia perkahwinan dengan melakukan aktiviti seperti melawat tempat-tempat yang pernah dikunjungi.
Cara ini akan dapat menghangatkan semula hubungan suami isteri. -K! ONLINE