AMSTERDAM – Ketua jurulatih Belanda, Frank De Boer berjanji gawang gol skuad bimbingannya tidak akan dibolosi lagi pada lewat permainan sepanjang kempen Euro selepas ini seperti dilakukan Ukraine awal pagi semalam.
The Oranje yang ketika itu mendahului 2-0, membenarkan Ukraine bangkit dengan dua gol pantas dalam tempoh empat minit di Amsterdam Arena menerusi jaringan Andriy Yarmolenko dan Roman Yaremchuk pada minit ke-75 serta 79.
Mujur tiga mata masih menjadi milik Belanda selepas Denzel Dumfries menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran lintang Nathan Ake pada minit ke-85 selepas Georginio Wijnaldum dan Wout Weghorst menjaringkan dua gol buat mereka.
“Saya berbangga dengan prestasi pasukan saya yang mengamalkan corak seimbang dan menguasai permainan. Kami telah mengkaji perlawanan ini sehingga ke minit terakhir.
“Kami akan memberikan segala-gala yang kami ada untuk memenangi perlawanan dan memastikan gawang kami tidak dibolosi lagi pada lewat permainan. Ia tidak akan berlaku lagi selepas ini,” kata De Boer.
Sementara itu, tonggak pertahanan Belanda dan Inter Milan, Stefan de Vrij tampil memuji kecemerlangan ditampilkan rakan sepasukannya Weghorst yang secara tidak langsung melenyapkan kritikan dilemparkan terhadapnya sebelum Euro berlangsung.
“Dia (Weghorts) bekerja keras, malah turut turun ke bawah membantu pasukan di bahagian benteng pertahanan ketika diasak Ukraine. Saya gembira kerana dia berjaya mencatat nama selaku penjaring gol pada aksi kali ini,” jelasnya.
Belanda boleh mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati lebih awal sekiranya berjaya menewaskan pendahulu semasa Kumpulan C, Austria pada 18 Jun ini.
Sebagai rekod, bekas juara Eropah 1988 itu tidak pernah kalah kepada Austria dalam tiga pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan dengan kemenangan 4-3 pada 2008, 3-1 (2011) dan 2-0 (2016). – AGENSI