MUNICH – Keharmonian pasukan Perancis dilaporkan berada dalam keadaan keruh apabila Kylian Mbappe masih terasa hati dengan kenyataan yang dikeluarkan rakan sepasukan, Olivier Giroud sebelum ini.
Perbalahan antara dua pemain itu mampu memberi kesan tidak baik menjelang aksi penting mereka yang akan turun menentang Jerman pada saingan Kumpulan F Euro 2020 di Allianz Arena awal pagi esok.
Kata Mbappe, dia masih terkesan dengan tuduhan Giroud yang mendakwa dia enggan melakukan hantaran ketika menewaskan Bulgaria 3-0 pada aksi persahabatan minggu lalu.
“Saya sudah bercakap dengan Olivier Giroud dan semua orang dalam pasukan tahu mengenainya. Memang benar saya masih terguris dengan kenyataan itu, namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya.
“Kami di sini membawa cabaran Perancis dan itu perkara paling penting untuk difikirkan oleh semua pemain. Saya juga adalah penyerang dan sering berfikir sama sepertinya dalam perlawanan,” jelasnya.
Pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu juga tidak kisah jika Giroud mengkritiknya secara bersemuka kerana dia faham apa yang dimahukan seorang penyerang dalam setiap perlawanan.
“Dia sepatutnya datang kepada saya dan berbincang, bukannya membuat kenyataan secara terbuka. Bagaimanapun, ia hanya perkara kecil dan kami mahu fokus untuk aksi menentang Jerman,” ujarnya. – AGENSI