LONDON – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dijangka memberitahu sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk mewujudkan keselamatan kolektif global sebagai teras pemulihan daripada pandemik Covid-19, lapor laman berita The National News.
Johnson akan berucap kepada para pemimpin NATO di Brussels lewat semalam dan menekankan kepentingan pakatan yang bersatu untuk menghadapi cabaran akan datang.
Sidang kemuncak NATO itu adalah yang pertama selepas pandemik Covid-19 melanda dunia dan sejak Joe Biden dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat lima bulan lalu.
“NATO bukan sahaja penting kepada keselamatan Britain, namun keselamatan global.
“Pemulihan daripada kehancuran global akibat pandemik Covid-19 perlu dilakukan dengan asas yang selamat.
“Keselamatan dan keamanan yang dibawa NATO telah menyokong kemakmuran global selama lebih 70 tahun dan saya yakin bahawa NATO akan terus berbuat begitu,” kata Johnson.
Tahun ini, Britain menggariskan rombakan besar membabitkan dasar luar, pertahanan dan keselamatan negara. London juga memperkukuhkan komitmennya kepada NATO dan menjanjikan peningkatan perbelanjaan pertahanan melibatkan peruntukan berjumlah £24.1 bilion (RM140 bilion).
Johnson juga akan menggariskan keperluan pelaburan dan penyelidikan bagi menangani cabaran masa depan termasuk kesan perubahan iklim dan ancaman baharu seperti serangan siber ke atas sistem kesihatan nasional.
Sidang NATO diadakan selepas pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) berkumpul di Cornwall, barat daya England untuk sidang kemuncak di mana mereka membincangkan krisis perubahan iklim, pemulihan ekonomi daripada Covid-19 dan isu geopolitik lain.
Para pemimpin G7 berjanji untuk memberikan satu bilion dos vaksin koronavirus tahun ini kepada negara-negara miskin dan satu bilion lagi pada akhir tahun 2022.
Mereka turut mendesak China tentang hak asasi manusia dan juga asal usul wabak Covid-19.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata penglibatan semula AS dalam diplomasi dunia pada sidang kemuncak G7 itu sebagai ‘kolaboratif dan produktif’. -Agensi