JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengaktifkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Olive B di Hospital Permai, di sini dikhususkan untuk pesakit wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di bawah 12 tahun, pertama seumpamanya dalam negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, PKRC yang mula beroperasi sejak semalam mampu menampung sehingga seramai 585 pesakit tahap 1 dan 2 bagi kumpulan sasaran.
Beliau berkata, PKRC ini dibuka sebagai persediaan awal berdasarkan situasi pertambahan kes positif Covid-19 serta kapasiti katil yang tinggi di PKRC Pasir Gudang.
“Kemasukan pesakit di PKRC Olive B ini adalah bergantung kepada penilaian dan saringan daripada 12 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh daerah di negeri Johor.
“Pesakit wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di PKRC Pasir Gudang tidak akan dipindahkan ke Olive B yang hanya menerima pesakit baharu sahaja.
“Setakat ini, seramai lapan pesakit telah mendaftar masuk untuk dikuarantin di PKRC Olive B,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Permai di sini hari ini. – K! ONLINE