KOTA BHARU – Dua buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) akan menghentikan kemasukan pesakit Covid-19 buat sementara waktu susulan penurunan kes jangkitan di Kelantan ketika ini.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd. Zurairie Mohd. Zubir berkata, dua buah PKPC itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat yang kini sedang merawat 120 orang pesakit dan SMK Salor di sini pula seramai 80 orang.
Katanya, keputusan untuk menghentikan kemasukan pesakit itu dilakukan selepas melihat penurunan kes Covid-19 sekali gus menyebabkan tidak ramai pesakit ditempatkan di PKRC.
“Bermula hari ini, kita tidak akan menerima pesakit di kedua-dua PKRC itu. Selepas 200 pesakit di PKRC itu sembuh, kita akan menutup sementara pusat kuarantin itu.
“Bagaimanapun, kedua-dua PKRC itu diletakkan pada status siap sedia atau ‘standby mode’ sekiranya berlaku semula peningkatan kes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini hari ini. -K! ONLINE