PETALING JAYA – Keinginan lapan lelaki warga tempatan dan asing untuk mendapatkan khidmat seks daripada wanita disyaki pelacur terbantut apabila hotel yang menjadi lokasi persundalan di Setapak Indah, Kuala Lumpur diserbu malam tadi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sekitar pukul 9 malam.
“Menerusi Op Noda itu, sembilan wanita warga asing disyaki pelacur ditahan.
“Dua pekerja lelaki dan wanita berusia 45 dan 34 tahun yang berperanan sebagai penjaga kaunter turut ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
“Antara yang dirampas adalah 21 keping kondom tanpa jenama, tuala, minyak pelincir jenama Durex dan Lovemonogatari serta wang tunai RM400,” ujarnya. – K! ONLINE