Platform PKS
PETALING JAYA – Tiada yang lebih memberi kepuasan bagi pengasas syarikat Perlis Dolomite Industries Sdn. Bhd. (PDI), Yong Norita Ahmad selain melihat daun yang menghijau, pucuk baharu yang bertunas dan pokok tanaman yang dulunya ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ akibat masalah tanah yang rosak ekoran penggunaan bahan kimia, kini semakin subur dan membuahkan hasil.
Itulah misi dan azam bagi satu-satunya pengusaha wanita Melayu yang berkecimpung dalam industri perlombongan dolomite di negara ini sebaik mula membangunkan empayar perniagaannya pada tahun 2014.
Beliau mahu membantu mengubah nasib ramai petani di kawasan luar bandar dengan menambah hasil pendapatan daripada penggunaan baja yang berkualiti dan merawat tanah pertanian dengan cara yang betul.
Bukan mudah untuk wanita berusia 53 tahun ini menguasai bidang yang dimonopoli kaum lelaki itu.
Namun hasil gigihnya yang mula bekerja di bahagian kewangan di sebuah syarikat perladangan telah memberi peluang kepada Yong Norita mengoperasikan perniagaan sendiri selepas mengambil peluang menimba pengalaman sedikit demi sedikit mempelajari cara menguruskan ladang sehingga kepada aspek pentadbiran syarikat.
Menyedari kekurangannya yang tidak mendapat pengajian formal di universiti, beliau mengambil pelbagai kursus di dalam dan luar negara mengenai tanaman dan penternakan bagi memudahkannya menguruskan ladang sendiri seterusnya terjun dalam bidang perusahaan dolomite.
Dolomite adalah batu mineral yang mengandungi unsur bahan magnesium dan kalsium yang bersesuaian digunakan dalam pelbagai industri seperti pembinaan, besi dan gelas serta dalam sektor pertanian yang akan menyuburkan tanah.
“Di sinilah bermulanya saya terlibat secara serius dalam perusahaan dolomite yang mana, apabila menguruskan ladang sendiri, saya perlu belajar menanam, menjaga, sehingga memetik hasil kelapa sawit.
“Tetapi saya berdepan masalah untuk mendapatkan hasil yang baik dan berganda.
“Lalu saya mencari solusi sehingga menjumpai teknik memulihkan pokok.
“Saya menemui dolomite sebagai cara menyelesaikan masalah tanah yang kurang subur,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bermula di situ, Yong Norita mula mencari sebatian dari batu sedimen terbaik sehingga menemuinya di Perlis.
Batu mineral tersebut sangat berkualiti dan mutunya setanding dengan dolomite dari luar negara kerana mempunyai peratusan kandungan magnesium yang tertinggi di Malaysia iaitu hampir 22 peratus.
PDI satu-satunya kilang di Perlis yang mampu menghasilkan dolomite serbuk dengan saiz 80 mesh hingga ke 325 mesh.
“Kami berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan hasil bumi yang terletak di kawasan bukit yang sememangnya memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
“Saya belajar semuanya tentang dolomite bermula dari A sehingga Z bagi setiap langkah proses sehingga terhasilnya dolomite serbuk.
“Saya juga tahu untuk memilih batu mineral dan memprosesnya dengan menggunakan mesin,” jelasnya.
Menjadikan hasil tanaman dari ladang sendiri sebagai uji kaji, dolomite yang diperolehi dicampurkan pada tanah bagi memberikan mineral yang diperlukan untuk tumbesaran pokok.
“Bagi tanaman padi contohnya, dolomite mampu mengatasi masalah tanah jerlus, siput gondang, padi rebah dan masalah serangan tikus yang dihadapi oleh sebahagian besar petani.
“Dalam dua hingga enam bulan, pokok semakin subur sehingga mengeluarkan hasil dua kali ganda,” ujarnya.
Yong Norita percaya tiada jalan mudah untuk meningkatkan hasil pengeluaran, hanya dengan cara memberikan nutrisi dan mineral pada tanah.
“Apabila tanah sihat dan pokok mendapat cukup ‘makanan’, tanamlah apa sahaja pasti akan membuahkan hasil yang berkualiti.
Gembira dengan penghasilan dolomite, beliau mula menjalankan kajian kedua untuk penghasilan baja cecair.
“Saya mengambil masa tiga tahun untuk membangunkan baja cecair organik yang berfungsi menyuburkan tanaman serta dapat mengatasi masalah ganoderma pada sawit dan kanker pada pokok durian,” terangnya.
Ditanya mengenai kekangan dalam industri berkenaan, Yong Norita menjelaskan, perkara utamanya adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan mendidik petani serta pekebun mengenai pentingnya ilmu pengurusan tanah.
“Kebanyakan petani masih kekal dengan pemikiran lama,” jelasnya.
Tambah beliau, petani telah memilih baja sedia ada dan mereka tidak mahu beralih menggunakan baja lain untuk mengelak sebarang risiko kerugian.
“Mereka juga sebenarnya tidak tahu mengenai masalah pokok dapat diselesaikan sekiranya pH tanah dibaik pulih dengan memberikan mineral yang diperlukan.
”Inilah impian saya iaitu mahu mendidik petani dan pekebun mengenai perkara asas berhubung perawatan tanah.
“Sebenarnya mereka tidak perlu memiliki tanah yang luas untuk mendapatkan hasil yang banyak sedangkan, dengan tanah yang kecil juga mereka akan mendapat hasil yang tinggi jika tanah dan tanaman tersebut dirawat dengan cara yang betul,” katanya.