KALI pertama muncul dengan debut single berjudul Untok Kita pada Ogos tahun lalu, kehadiran kumpulan Satwo menimbulkan tanda tanya kepada pendengar muzik tempatan tentang identiti mereka.
Tampil mendendangkan melodi dan irama bernuansa mistik dan sedikit berhantu, kehadiran Satwo dalam industri ketika ini dianggap mencipta kelainan kerana bunyi muzik sangat segar dan jarang didengari.
Untok Kita mengangkat genre folk rock atau psych pop yang menjadi sebahagian daripada jenama dan identiti mereka dalam dunia muzik.
Selepas hampir setahun, kumpulan yang dianggotai dua ahli iaitu Rafiz dan Maz itu tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Gelap.
Menceritakan lanjut tentang Gelap, Rafiz berkata, karya berkenaan berkisarkan seseorang yang dihantui kisah silam dan ingin keluar mencari sesuatu yang lebih baik untuk dirinya.
“Di bahagian akhir lagu, dia telah pun menemui cahaya yang dicari-cari di hujung terowong,” ujarnya yang menyandang posisi gitaris dan vokalis.
Satwo yang akan muncul dengan album tidak lama lagi turut menjalin kerjasama dengan Ilham daripada kumpulan Pitahati selaku produser.
Kata Ilham, dia tertarik dengan Gelap ketika mendengar demo pertama karya berkenaan sebelum ini.
“Gelap merupakan antara lagu kegemaran saya sewaktu mereka menghantar demo pertama dahulu. Kuat hati saya rasakan bahawa lagu ini akan jadi hit.
“Lagu ini juga merupakan sebab saya menawarkan diri menjadi produser untuk album mereka kelak,” katanya.
Vokal unik
Antara ciri-ciri unik yang ada pada muzik Satwo ialah pembawakan vokal. Suara Rafiz sentiasa diiringi vokal harmoni dan sulaman daripada Maz yang merupakan pemain piano dan juga vokalis kedua.
Hasilnya, gabungan mereka menjadi pameran suara yang mencerminkan keakraban, kebersatuan dan keharmonian jiwa, sekali gus menonjolkan betapa kehidupan mencerminkan seni dan hubungan mereka sebagai suami dan isteri.
Malah, selaku kumpulan yang mempunyai hanya dua ahli, Satwo juga mempunyai keterbukaan dan kebebasan berkolaborasi dengan ramai pemuzik mengikut cita rasa dan kesesuaian lagu.
Untuk lagu Gelap, mereka meminjam bakat daripada beberapa pemuzik hebat seperti Aidil Azali (Iqbal M.) untuk ketukan dram, tiga anggota Pitahati iaitu Masri (bass, Zahar) dan Hidayat (gitar)
Tambah Rafiz dan Maz, idea tersebut tercetus apabila Ilham memberi tugasan kepada mereka supaya menyiapkan empat buah lagu baharu dalam masa seminggu.
Bagaimanapun, mereka hanya mendapat idea sehari sebelum menghantar demo kepada Luncai Emas.
“Dalam keadaan tertekan, lagu ini terlahir. Idea untuk lagu ini bermula dengan sebuah ukelele yang dimainkan Maz dengan gaya koboi, seterusnya menjadi ‘hook’ utama dan kini berkembang menjadi sesuatu yang dahsyat,” tambah Rafiz.
Pelancaran lagu Gelap disertakan dengan sebuah video muzik arahan Ameer Syafiq dan diterbitkan oleh Luncai Emas serta boleh didapati menerusi saluran YouTube Luncai Emas.
Penggambaran untuk video klip berkenaan diadakan di Mossy Forest, Cameron Highlands, Pahang dan Taman Melawati, Kuala Lumpur.