SELEPAS empat bulan mendiamkan diri, penyanyi Naeun dan Jinsol tampil bersuara berkenaan isu dakwaan buli membabitkan bekas anggota kumpulan April, Hyun-joo yang tercetus sejak Februari lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baik Naeun mahupun Jinsol menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Hyun-joo bahawa mereka pernah membulinya sepanjang bersama selaku sebuah kumpulan.
“Ada sebab kenapa saya ambil masa yang agak lama untuk keluarkan kenyataan. Saya rasa perkara ini patut diuruskan oleh agensi. Tetapi masih ramai yang tidak percaya dengan perkara ini, jadi saya harus pertahankan peminat daripada berita palsu.
“Saya enggan bercakap dengan terperinci tetapi saya mahu tegaskan bahawa buli tidak pernah berlaku dan tuduhan tersebut salah sama sekali,” katanya.
Sejurus Naeun mengeluarkan kenyataan, Jinsol menerusi Instagramnya melakukan perkara sama dengan bertegas, dia tidak pernah sekali pun berkelakuan buruk terhadap Hyun-joo.
“Biarpun ada masanya saya dan anggota lain kurang bertemu dan berkomunikasi tetapi kami tetap cuba memahami serta ambil berat sesama sendiri.
“Saya juga tidak pernah bersangka atau berkata buruk kepadanya sepanjang tinggal bersama, termasuklah melakukan perkara tidak baik kepadanya,” kata Jinsol.