PELUMBA berbakat negara, Sharifuddin Azman melakukan kejutan apabila menjuarai perlumbaan CEV Moto3 Remaja Dunia pada saingan di Litar Barcelona-Catalunya petang tadi.
Pelumba berusia 20 tahun itu yang memulakan saingan dipetak ke-10 tersebut memulakan saingan dengan baik, namun sedikit ketinggalan pada awal perlumbaan.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak melemahkan semangat pelumba kelahiran Selangor itu apabila mengekalkan tungangan konsisten sepanjang perlumbaan.
Pada baki enam pusingan terakhir, pelumba SIC Racing tersebut mula mengatur rentak dan cuba memberi tekanan kepada kelompok hadapan yang ketika itu dikuasai pelumba Indonesia, Mario Suryo Aji.
Kesilapan Mario dan David Munoz (Carodoso Racing) di pusingan terakhir membuka ruang kepada Sharifuddin untuk memintas sekali gus menjuarai perlumbaan tersebut.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulilah dan juga terima kasih kepada pasukan saya, ketua mekanik dan juga buat pengurus saya, Zulfahmi Khairuddin.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Razlan Razali yang datang memberi sokongan kepada saya hari ini. Terima kasih juga kepada semua penyokong, keluarga dan semua,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Selepas empat pusingan perlumbaan, Syarifuddin kini menduduki tangga keenam dengan 31 mata. – K! ONLINE