fbpx

Penangan pes tomyam Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara produk makanan dari Thailand yang dirampas pihak berkuasa pada tahun ini.

ALOR SETAR – Pihak berkuasa mengesan kegiatan penyeludupan produk makanan keluaran Thailand yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan pe­ngangkutan kargo melalui Bukit Kayu Hitam sejak pintu sempadan ditutup pada tahun lalu.

Antara barangan popular diseludup yang mendapat permintaan adalah pes tomyam, sos ikan, sos cili, kicap, mi segera, serbuk teh dan minuman ringan.

Abdul Latif

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, kegiatan itu dipercayai berlaku kerana permintaan tinggi terhadap produk keluaran Thailand terutama pes tomyam.

“Kita tidak menolak kemungkinan produk ini mendapat permintaan daripada pengusaha kedai makan dan restoran makanan Thailand di Kedah yang terputus bekalan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Walaupun ada premis yang ditutup, namun masih ada yang beroperasi dengan menyediakan perkhidmatan bawa pulang. Jadi mereka memerlukan bahan ini dalam masakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Selain kedai dan restoran, produk keluaran Thailand itu turut mendapat permintaan dalam kalangan peruncit di Kedah dan Perlis menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menyeludup menggunakan lori bersama barang dagangan yang sah.

Menurut beliau, modus ope­randi penyeludupan produk makanan itu ialah dengan menyembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu dan kelindan di kepala lori atau treler.

“Ada juga yang meletakkan barangan seludup ini bersama-sama barang dagangan yang diikrar secara sah dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.
Kes terbaharu dikesan pada 20 April lalu membabitkan rampasan barangan makanan dan minuman dari Thailand bernilai lebih RM77,000 di sebuah rumah di Alor Setar dan sebuah treler Bukit Kayu Hitam.

Treler membawa barangan perdagangan melalui pemeriksaan di pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Jelas beliau lagi, penyeludupan produk makanan dari Thailand sukar dikesan kerana kuantitinya kecil.

Justeru, pemeriksaan lebih rapi perlu dilakukan ke atas pe­ngangkutan berat di sekatan jalan raya Aksem setelah melepasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Tambahnya, ke­giatan penyeludupan produk dari Thailand tidak didalangi oleh mana-mana sindiket, namun lebih kepada perbuatan individu tertentu untuk menambah pendapatan.

“Kegiatan ini tetap menyalahi undang-undang yang mana produk makanan yang dibawa masuk tidak diikrar secara sah serta terdapat keraguan tentang kandungannya termasuk aspek halal dan kebersihan,” katanya.

Produk-produk yang dirampas diserahkan kepada Kementerian Kesihatan atau kastam dan siasatan dijalankan di bawah Perkara 11(1) Akta Makanan 1985 serta Seksyen 135 (1) (E) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tahun ini, setakat Mei lalu, nilai produk makanan Thailand yang dirampas adalah me­lebihi RM100,000.

“Aksem Kedah merekodkan 20 kes penyeludupan rentas sempadan dan rampasan barangan dianggarkan lebih RM2.69 juta termasuk cukai sejak ­Januari. Kebanyakannya melibatkan produk makanan dari Thailand,” katanya.

Selain produk makanan Thailand, barangan lain yang dirampas adalah minuman keras dan rokok seludup.

Permintaan punca aktiviti seludup sukar dibendung

ALOR SETAR – Kegiatan penyeludupan produk makanan dari Thailand yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa telah lama berlaku kerana permintaan tinggi daripada penduduk di ne­geri ini dan Perlis.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff mendedahkan, sebelum pintu sempadan negara ditutup pada tahun lalu, barangan tersebut diseludup menggunakan kenderaan persendirian dan bas ekspres.

“Keadaan ini berlaku kerana terdapat permintaan daripada kedai-kedai runcit dan restoran makanan Thailand di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, permintaan terhadap produk tersebut masih ada menyebabkan kegiatan penyeludupan sukar dibendung.

Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal berharap pihak berkuasa terutama yang mengawal pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) me­lakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap pengangkutan berat di la­luan kargo.

Beliau berkata, pihaknya percaya terdapat ‘kaki’ di negara jiran dan negara ini yang terlibat dalam urusan jual beli produk makanan tersebut sebelum diseludup masuk menggunakan kenderaan perdagangan.

“Mungkin ada pihak yang membawa masuk barangan tersebut bagi tambah pendapatan yang mana produk makanan Thailand ini dijual lebih dua kali ganda di sini,” jelasnya.

Mohamad Yusrizal memberitahu, produk dari Thailand tanpa maklumat yang jelas berhubung kandungan makanan, aspek halal dan kebersihannya sangat diragui.

“Tidak semua produk Thailand tidak elok, tetapi kita bimbang barang yang diseludup itu adalah yang berkualiti rendah sekali gus boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

“Kadang-kadang kita mendapati keterangan produk dalam Bahasa Thai dan ada pengguna yang tidak mengambil berat tentang perkara itu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia diminta supaya memantau isu tersebut.

“Pemeriksaan boleh dilakukan di kedai-kedai runcit dan restoran makanan yang me­nyajikan masakan Thailand yang dipercayai menggunakan produk yang diragui,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI