KLANG – Malang bagi seorang pengangur apabila bukan sahaja kempunan memeras ugut malah ditangkap pada cubaan pertamanya menyamar sebagai polis di Jalan Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang di sini, Rabu lalu.
Penahanan suspek lelaki berusia 38 tajun berasal dari Sabah itu dilakukan kira-kira pukul 9.20 malam oleh Unit Kereta Peronda Polis (MPV).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek yang menaiki sebuah motosikal telah pergi ke sebuah rumah yang didiami seorang lelaki warga Indonesia berusia 52 tahun di kawasan tersebut bagi memeras ugut.
Katanya, tindakan suspek itu kerana mengesyaki terdapat warga asing di rumah tersebut.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai polis telah mengetuk pintu rumah dan menyuruh mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan membuka pintu tanpa memberitahu sebarang tujuan.
“Mangsa yang curiga serta takut terus menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, sepasukan MPV kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek tersebut.
Shamsul Amar menegaskan siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan kegiatan tersebut seorang diri.
“Malah ini merupakan cubaan pertama suspek melakukan jenayah tersebut dan dia direman selama tiga hari sehingga hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan 170 Kanun Keseksaan,” katanya. -K!ONLINE