PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji usaha Kementerian Wilayah Persekutuan yang mengadakan pemberian vaksin secara bergerak.
Beliau dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, insiatif Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah itu yang dianjurkan di Perumahan Awam Seri Johor, Bandar Tun Razak hari ini memudahkan penduduk setempat khususnya warga emas.
“Rata-rata penerima vaksin yang mana sebahagian besarnya adalah warga emas ketika ditemui menzahirkan terima kasih atas usaha yang dilakukan.
“Selain memudahkan mereka divaksinasi, inisiatif Trak Vaksin Bergerak itu lebih ‘mobile’ dan boleh berada di kawasan yang disasarkan berbanding Pusat Pemberian Vaksin (PPV) biasa, sekali gus membantu mempercepatkan sasaran majoriti rakyat divaksinasi,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, beliau turut yakin dengan kemudahan yang disediakan itu termasuk PPV yang sedang beroperasi di Lembah Klang, Wilayah Persekutuan mampu mencapai sasaran imuniti kelompok atau lebih 80 peratus penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya menjelang 31 Ogos ini.
“Syabas saya ucapkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta klinik kesihatan swasta dan petugas sukarela yang terlibat menjayakan inisiatif yang cukup baik dan amat membantu rakyat ini.
“Ini merupakan antara usaha kerajaan dalam memastikan semua rakyat yang layak divaksinasi tidak tertinggal dari mendapat suntikan vaksin dengan cara menyenangkan atau memudahkan proses mereka untuk menerima suntikan,” ujarnya. – K! ONLINE