LONDON – Ketua jurulatih Scotland, Steve Clarke mengakui pening kepala untuk memilih pemain yang akan diturunkan pada aksi menentang Republik Czech di Hampden Park malam ini.
Clarke berjaya membantu Scotland mara ke pusingan akhir Euro 2020 selepas 23 tahun mereka tersisih daripada kejohanan utama.
Laluan Scotland untuk saingan kali ini bukan mudah kerana Kumpulan D menyaksikan mereka turut diundi bersama dua lagi pasukan gergasi Eropah, Croatia dan England menyebabkan pintu ke saingan kalah mati tidak mudah untuk mereka buka.
Bagaimanapun, Clarke mengakui bintang mudanya, Billy Gilmour akan menjadi tonggak penting dan senjata rahsia pasukan itu selepas dia hampir pasti akan berada dalam senarai pemain pasukan itu yang berdepan aksi pertama nanti.
“Bakatnya sangat mengagumkan. Dia masih muda dan banyak lagi yang perlu dipelajari tetapi setiap kali dia beraksi, saya begitu mengagumi apa yang dia miliki.
“Dia akan menjadi pemain yang hebat pada masa depan dan aset penting buat Scotland,” katanya. – AGENSI