fbpx

Ular sawa 20kg baham 13 ekor ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APM berjaya menangkap ular sawa yang ditemui kekenyangan di dalam reban di Kampung Padang Besar, Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Seorang pesara tentera di Kampung Padang Besar di sini hari ini terkejut apabila ternampak seekor ular sawa melingkar kekenyangan selepas dipercayai membaham 13 ekor ayam di dalam reban miliknya, sejak minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, ular seberat 20 kilogram itu bagaimanapun berjaya ditangkap dengan bantuan sepasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Alor Gajah.

Menurut Safri Abdul Rahman, 63, kehadiran ular itu disedari ketika dia ingin memberi ternakannya makan.

“Apabila saya masuk ke dalam reban, saya lihat ada seekor ular sawa melingkar dipercayai kekenyangan kerana hari ini dua ekor ayam lagi hilang.

“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan meminta isteri Norliza Otoh, 54, menghubungi APM untuk menangkap ular tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mengulas lanjut dia berkata, dia mula menternak ayam pada dua bulan lalu dengan membeli sebanyak 50 ekor anak ayam sebagai permulaan, namun beberapa ternakannya ditemui mati sejak minggu lalu.

“Sejak minggu lalu saya menjumpai beberapa bangkai ayam dengan keadaan dimakan separuh di dalam reban dan pada awalnya menyangka ia ‘kerja’ si musang.

“Bagaimanapun, ayam-ayam ini tidak pernah dilepaskan dari reban, itu yang saya pelik. Hari ini barulah terbongkar, rupa-rupanya ternakan saya telah dibaham ular sawa, kini ayam yang tinggal hanyalah 37 ekor,”katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Mohd. Ridhwan Latip berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan pada pukul 11.24 pagi dan sepasukan tiga anggota dikejarkan ke lokasi bagi operasi kes menangkap ular (KMU).

“Anggota APM menjumpai ular sawa sepanjang 12 meter di dalam reban ayam tersebut dan mengambil masa lima minit untuk menangkapnya.

“Dipercayai ular ini datang dari kawasan hutan atau sungai berdekatan kediaman berkenaan untuk mencari makanan. Kita telah pun melepaskan semula haiwan itu di tempat selamat jauh dari kawasan kediaman,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI