KOTA KINABALU – Tindakan enam individu leka berhibur di sebuah pusat hiburan membawa padah apabila ditahan dalam Operasi Op Noda, di premis Jalan Pantai, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 awal pagi tadi.
Enam pengunjung termasuk empat wanita dan dua lelaki itu ditahan ketika operasi yang dilaksanakan sekitar pukul 1.40 pagi oleh cawangan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Turut ditahan seorang lagi lelaki yang juga penjaga premis.
Pegawai Turus D7 IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, semua yang ditahan adalah berusia antara 17 sehingga 54 tahun.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada individu terbabit merupakan warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah manakala tiga lagi positif dadah.
“Pemeriksaan awal turut mendapati premis terbabit beroperasi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP yang sudah ditetapkan kerajaan.
“Proses pemeriksaan dokumentasi mendapati seorang lelaki dan dua wanita adalah bukan warganegara, manakala selebihnya warga tempatan.
“Semua ditahan mengikut Perkara 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak menjaga penjarakan sosial, mengunjungi pusat hiburan dan tidak mengimbas Mysejahtera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Alhusin memaklumkan penjaga premis disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958 kerana beroperasi. – K! ONLINE