SHAH ALAM – Bapa bayi lelaki yang dilaporkan tertukar dengan bayi lain di sebuah hospital swasta di sini semalam telah membuat laporan polis pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, laporan itu dilakukan pukul 9 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini.
Katanya, bapa bayi tersebut mengetahui mengenai bayinya tertukar apabila mendapati nama ibu pada tag bayi itu bukan nama isterinya.
“Buat masa ini kita mengklasifikasikan siasatan kes ini sebagai rujuk majistret,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika ditanya keperluan memanggil pihak hospital swasta itu untuk rakaman percakapan, Baharudin memberitahu arahan lanjut mengenainya hanya akan dibuat selepas menerima maklum balas daripada pihak majistret.
Terdahulu tular kejadian bayi kedua kepada seorang usahawanita yang baru dilahirkan pada Jumaat lalu di sebuah hospital swasta di sini tertukar dengan bayi lain semalam.
Kejadian tular selepas dikongsikan usahawan wanita, Siti Suriani yang dikenali sebagai Siti Jamumall melalui satu perkongsian di Facebook Live.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada pihak hospital swasta berkenaan gagal apabila mereka enggan mengulas lanjut. – K! ONLINE