NEW DELHI – Seorang lelaki bertindak menyembunyikan kekasih di dalam rumah ibu bapanya sejak lebih 10 tahun lalu kerana bimbang hubungan mereka tidak direstui, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Rahman Khani, 34, melarikan diri bersama kekasih hatinya, Sajita, 28, pada 2010 kemudian menyembunyikan wanita itu di rumah keluarganya di Ayiloor, Kerala selama 11 tahun.
Rahman juga memasang peralatan elektrik pada tombol pintu bilik itu bagi mengelakkan ia dimasuki bapa, ibu dan kakaknya.
Dia akan mengunci pintu bilik itu setiap kali dia keluar dan Sajita pula akan menggunakan tingkap bilik itu untuk keluar pada waktu malam tanpa diketahui sesiapa.
Sajitha juga akan menonton televisyen kecil dengan menggunakan fon telinga bagi menghilangkan kebosanan.
Ketika Sajita mula-mula hilang lebih sedekad lalu, polis melancarkan operasi mencari wanita itu namun ia tamat begitu sahaja.
Awal tahun ini, pasangan itu mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah sendiri tanpa memaklumkan kepada keluarga Rahman.
Ibu bapa lelaki itu kemudian membuat laporan polis tentang kehilangan anak mereka apabila menyedari Rahman tidak pulang ke rumah.
Polis kemudian menemui Rahman di Nenmara yang terletak tidak jauh dari rumah keluarganya.
Pegawai polis tempatan, Deepa Kumar berkata Sajita dan Rahman menyembunyikan hubungan mereka kerana perbezaan agama.
“Kedua-dua mereka dibawa ke rumah Rahman dan lelaki itu kemudian memberitahu bahawa mereka sudah tinggal bersama dalam bilik kecil itu lebih 10 tahun,” katanya.
Dalam satu perbicaraan mahkamah, hakim telah mengeluarkan perintah membenarkan pasangan itu untuk terus tinggal bersama. -Agensi