fbpx

Kilang kertas dikenal pasti punca pencemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Sharkar Shamsuddin (tiga dari kanan) bersama Mohd. Sani Mat Daud (empat dari kanan) melakukan tinjauan di kawasan sangkar ikan di Sungai Pahang dekat Kampung Pengkalan Manggis di Temerloh semalam.

SALEHUDIN MAT RASAD

TEMERLOH – Sebuah kilang kertas dikenal pasti menjadi punca pencemaran air di Sungai Pahang dekat sini sehingga menyebabkan kematian sejumlah ikan ternakan sangkar di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan siasatan dan akan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Berdasarkan siasatan, dipercayai berlaku pelepasan air berwarna hitam melalui paip bawah tanah dari sebuah kilang kertas pada 9 Jun lalu ke Sungai Pahang yang mendapat tindak balas kerajaan negeri dan JAS.

“Peralatan yang menyebabkan pelepasan efluen berkenaan telah disita dan tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh 14 hari atau tidak dibenarkan melepas sebarang efluen ke alur air atau sungai,” katanya selepas melakukan tinjauan di Sungai Pahang sekitar Kampung Pengkalan Manggis di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang penternak ikan sangkar di Kampung Pengkalan Manggis mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas lebih 1,000 ekor ikan patin dan tilapia peliharaannya mati.

Menurut Mohd. Sharkar, berdasarkan berdasarkan pemantauan semasa mendapati air di kawasan terbabit di Sungai Pahang itu telah kembali normal dan tiada lagi air berwarna hitam.

Sementara itu, Mohd. Sani berkata, tindakan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan diambil ke atas pihak kilang dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara selama tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, pihak terbabit juga boleh dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM2,000 terhadap kecuaian atau kesalahan yang dilakukan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI