BARISAN pemain dan kejurulatihan perlu dimaklumkan lebih awal jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melaksanakan peraturan baharu bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula pada 26 Ogos ini.
Justeru, Ketua Jurulatih Felda United, Mohd. Nidzam Jamil bersetuju jika hukuman berat dikenakan kepada pemain atau pasukan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Secara peribadi, saya tidak kisah sekiranya hukuman berat dikenakan kepada pemain seperti kad kuning atau kad merah jika melanggar SOP.
“Cuma, pendekatan tersebut perlu dimaklumkan lebih awal memandangkan saingan liga akan bermula tidak lama lagi dan kami semua harus jelas dengan segala peraturan baharu.
“Saya harap beberapa aksi persahabatan yang akan diadakan dalam tempoh dua minggu ini boleh dijadikan fasa percubaan buat pemain agar mematuhi setiap SOP,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Nidzam menolak cadangan sekiranya pemain batuk dianggap melakukan kesalahan dengan berpotensi dilayangkan kad kuning atau merah apabila berbuat demikian,
“Jika diikutkan logik, memang agak pelik jika pemain batuk pun dilayangkan kad merah dan saya rasa ia tidak sesuai untuk dipraktikkan dalam saingan Liga M.
“Paling penting buat pemain, pegawai dan pengadil adalah menjaga SOP dan penjarakan fizikal seperti mengelak daripada meraikan jaringan gol, bersalaman dan sebagainya,” katanya.