ST. PETERSBURG – Belgium menepati status sebagai pasukan ranking No. 1 dunia apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan Rusia 3-0 pada aksi Kumpulan B Euro 2020 di Stadium Krestovsky sebentar tadi.
Kemenangan itu jelas sekali memperlihatkan kemampuan Red Devils yang mempamerkan prestasi menarik dengan serangan bertali arus ke arah gawang Rusia sepanjang perlawanan tersebut.
Ia juga menyaksikan pasukan tempat ketiga Piala Dunia 2018 itu berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan sulung di pentas Eropah sejak Euro mula diperkenalkan di Perancis pada tahun 1960.
Skuad bimbingan Roberto Martinez tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Romelu Lukaku yang memanfaatkan kesilapan bek tengah Rusia, Andrei Semyonov pada minit ke-10.
Belgium sekali lagi memanfaatkan kelekaan benteng pertahanan Rusia dengan gol kedua pada minit ke-34 menerusi tolakan mudah pemain gantian, Thomas Meunier.
Bek kanan Borussia Dortmund itu yang langsung tidak dikawal, melakukan rembatan susulan selepas sepakan lencong menarik daripada Thorgan Hazard ditepis penjaga gol Rusia, Anton Shunin.
Lukaku memastikan kemenangan selesa milik Belgium dengan gol ketiga pada minit ke-88 sekali gus menjadi jaringan peribadi ke-19 buat bekas bintang Manchester United itu dalam 16 perlawanan antarabangsa.
Keputusan itu menyaksikan Belgium terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan antarabangsa berturut-turut sejak tewas 1-2 kepada England sewaktu aksi Liga Negara-Negara Eropah pada Oktober tahun lalu.
Selepas ini, Belgium dijadualkan menentang Denmark di Stadium Parken, Copenhagen pada 18 Jun, manakala Rusia akan menanti kunjungan Finland di Stadium Krestovsky pada 16 Jun. – AGENSI