fbpx

Jangan tuding jari kepada pemain naturalisasi sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE PAULA (tengah) menunjukkan sedikit peningkatan apabila berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi semalam. - FAM

PENYOKONG bola sepak tanah air tidak boleh menuding jari kepada pemain naturalisasi sahaja selepas menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam pada aksi Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi semalam.

Keputusan itu menutup pintu buat skuad negara untuk layak ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 fasa ketiga, selain gagal mengesahkan tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi percaya, kritikan tidak boleh dilemparkan kepada pemain naturalisasi semata-mata sebaliknya semua pemain.

Kata Yusoff, pada aksi bertemu Vietnam, hanya dua pemain naturalisasi yang diturunkan dalam kesebelasan utama iaitu Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh.

“Kita tidak boleh tumpukan perhatian kepada pemain naturalisasi sahaja memandangkan prestasi pemain sukar dijangka kerana ada ketika bagus dan sebaliknya.

“Namun, bola sepak adalah sukan berpasukan dan semua pemain sepatutnya memberi sumbangan, namun pemain-pemain tempatan kita juga gagal mencapai standard yang dimahukan.

“Sebenarnya banyak faktor yang membawa kepada keputusan itu, tapi harus diakui pemain naturalisasi sepatutnya memberikan aksi lebih baik berbanding pemain tempatan.

“Saya harap situasi akan berubah pada masa akan datang dengan semua pemain dapat kembali memberi impak untuk memastikan pasukan meraih keputusan positif,” katanya pada sidang akhbar virtual semalam.

Selain De Paula dan Sumareh, skuad negara turut memiliki seorang lagi pemain naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi, tetapi hanya dimasukkan sebagai pemain gantian oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Pada aksi semalam, De Paula menunjukkan sedikit peningkatan dengan menjaringkan gol hasil sepakan penalti, tetapi masih belum cukup untuk menghadiahkan sebarang mata buat kem negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI