fbpx

Sakit otot tapi raih 7A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Dhia Maisarra menggunakan kerusi roda untuk bergerak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanah Putih, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Kehidupan r­iang seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hilang sekelip mata selepas dia disahkan menghidap penyakit Distrofi Fazioscapulohumeral (FSHD) atau penyakit lemah otot sejak enam tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan Wan Dhia Maisarra Wan Zakaria, 18, terpaksa mengharungi kehidupan harian dengan bergantung kepada kerusi roda.

Ujarnya, dia mengalami kecederaan saraf tulang belakang selepas kerap terjatuh ketika berusia 12 tahun sehingga tidak mampu berjalan dengan sempurna selepas bahagian otot bahu sehingga kakinya menjadi lemah selain tulang belakang turut senget.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra (SMKTIP) itu, penyakit saraf juga menyebabkan dia berjalan tidak stabil, ke­rap letih dan tubuh badan sakit.

“Saya terpaksa menjalani ra­watan susulan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai setiap enam bulan sekali sejak beberapa tahun lalu.

“Ayah, Wan Zakaria Dollah, 60, menghantar dan mengambil saya di sekolah setiap hari dengan menggunakan motosikal,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanah Putih di sini semalam.

Menurut Wan Dhia Maisarra, selain itu, ibunya, Mek Nab Derahman, 50, banyak membantu pergerakannya dengan menggunakan kerusi roda ketika berada di rumah.

Katanya, guru-guru dan rakan-rakan di SMKTIP juga menjadi tunjang kepadanya dalam membantu pelbagai hal ketika berada di sekolah.

“Pihak sekolah telah membina tandas khas untuk kemudahan saya. Sebab itu saya rasa keputusan meraih 7A, 1B dalam SPM 2020 sebagai membalas jasa mereka apatah lagi meraih anugerah pelajar terbaik bagi calon Berkeperluan Khas Negeri Kelantan,” katanya.

Wan Dhia Maisarra yang merupakan anak keempat daripada enam beradik bagaimanapun bimbang sekiranya gagal menguruskan diri apabila berjaya menjejakkan kaki ke menara gading kelak.

Katanya, dia berhasrat agar dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara Machang dalam jurusan perniagaan bagi mengejar cita-citanya menjadi ahli perniagaan wanita berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI