GEORGE TOWN – Pihak berkuasa tempatan menggunakan dua buah lori bagi mengangkut kira-kira enam tan barangan terpakai yang dikumpul seorang penghuni di Flat Bukit Gedung, Bayan Baru di sini.
Kerja-kerja membersih termasuk mengangkut timbunan barang lusuh dari tingkat empat flat itu dilakukan semalam dan mendapat kerjasama pihak pengurusan blok tersebut.
Proses itu mengambil masa kira-kira dua jam bermula pada pukul 2 petang bagi memastikan tiada lagi barangan terpakai ditinggalkan di koridor rumah penghuni lelaki tersebut.
Penghuninya yang berusia 45 tahun itu juga dikatakan memberi kerjasama yang baik walaupun berlaku sedikit kekecohan selepas melihat kehadiran Pengarah Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nik Ariff Long Dir.
Kunjungan wakil MBPP semalam adalah yang ketiga dalam tempoh seminggu.
Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, dia sudah serik dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.
“Saya tahu perbuatan ini (melonggok barangan) menyusahkan semua pihak sehingga ada yang datang berkali-kali ke rumah ini sejak seminggu lalu.
“Saya juga berasa malu dengan penghuni lain. Selepas ini, saya rancang untuk mengecat semula dinding luar rumah agar kelihatan cantik,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Berita berkaitan: https://www.kosmo.com.my/2021/06/04/timbunan-barang-lusuh-hampir-cecah-siling-flat/
Sementara itu, Nik Ariff memberitahu, pihaknya mengambil pendekatan mengunjungi rumah lelaki itu selepas mendapati pemiliknya masih gagal menunaikan janji sejak minggu lalu.
“Penghuni sudah berjanji untuk membersihkan koridor rumahnya sebelum tengah malam tadi (kelmarin) selepas beberapa kali tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa.
“Hari ini (semalam), kami turun lagi buat kali ketiga untuk melihat sendiri kerja-kerja pembersihan bagi memastikan koridor bersih dan kosong,” katanya.
Dianggarkan sebanyak enam tan barangan terpakai berjaya dikumpul dan diangkut dengan menggunakan dua buah lori masing-masing seberat tiga tan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tindakan seorang penghuni flat di Bayan Baru melonggokkan barangan lusuh sejak tiga bulan lalu di koridor hadapan rumahnya mendatangkan kebimbangan penduduk.
Rata-rata penduduk risau sekiranya barangan seperti kerusi besi dan meja kayu yang ditimbun mencecah siling koridor terjatuh lalu menghempap mereka.