PETALING JAYA – Bakal jemaah haji reda dengan keputusan kerajaan Arab Saudi yang mengehadkan ibadah itu tahun ini hanya kepada penduduk dan rakyat asing yang tinggal di negara itu meskipun telah melakukan persiapan sejak tahun lalu.
Menurut Siti Mariah Ahmad, 60, dari Alor Setar, dia memahami situasi tersebut memandangkan kes Covid-19 masih tinggi di seluruh dunia.
Wanita itu memberitahu, dia telah menjalani suntikan wajib vaksin yang merupakan syarat utama kerajaan Arab Saudi sebagai persiapan akhir.
“Bulan lalu, saya selesai mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan hari ini (semalam) pula suntikan wajib Meningococcal di Pejabat Kesihatan Pendang sebagai persiapan jika dipanggil pihak Lembaga Tabung Haji kerana nama saya berada dalam senarai jemaah haji tahun ini.
“Saya juga telah mengikuti kursus haji 14 siri selama tiga bulan secara dalam talian. Walaupun tidak dapat mengikutinya di masjid bersama rakan-rakan, namun ia menjadi pengalaman baharu buat saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Payung semalam.
Berita berkaitan: https://www.kosmo.com.my/2021/06/12/arab-saudi-putuskan-tidak-benarkan-jemaah-haji-luar-negara/
Selain itu, Siti Mariah memberitahu, dia telah menyediakan kelengkapan haji seperti pakaian, beg dan dokumen diperlukan bagi memudahkan urusannya apabila dipanggil kelak.
“Saya sudah bersiap sedia sejak tahun lalu kerana tidak mahu membuat persiapan saat akhir sehingga menyebabkan ketinggalan barangan penting walaupun sebelum keputusan untuk menunaikan fardu haji belum diketahui lagi,” katanya.
Di Kota Bharu, seorang ibu tunggal, Kamariah Abdullah, 55, memberitahu, dia sudah menghafal doa-doa penting ketika berada di Mekah dan Madinah sejak setahun lalu ketika kursus jemaah haji.
Jelas wanita itu, dia sepatutnya berkunjung ke Tanah Suci pada tahun lalu, namun takdir menyatakan dia masih belum mempunyai rezeki mengerjakan haji apabila dunia dilanda pandemik tahun lepas dan juga pada musim ini.
“Saya tergamam dan reda apabila Lembaga Tabung Haji sekali lagi mengumumkan membatalkan musafir jemaah Malaysia ke Arab Saudi bagi mengerjakan rukun Islam kelima ini.
“Ketika menjalani kursus haji, saya menghafal doa-doa penting seperti ketika tawaf, melihat Kaabah, memakai ihram dan lain-lain lagi meskipun saya tahu harapan untuk ke tanah Arab pada tahun ini masih samar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah ibu kepada tiga anak itu, pada tahun ini, dia telah menjalankan prosedur yang ditetapkan seperti menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini.
Menurut Kamariah, ada juga kelengkapan yang masih belum dibeli kerana kebanyakan kedai ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang dilaksanakan pada ketika ini.
“Kita ada kuota untuk Malaysia, saya harap saya terpilih, namun saya reda dan perlu menunggu pula giliran pada tahun-tahun akan datang,” luahnya.
Sementara itu, di Klang, Selangor, bilal Masjid Umariah Kampung Perepat, Ahmad Sukri Abu, 33, berkata, harapannya sangat tinggi pada tahun ini agar diberi rezeki menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
“Saya reda apabila kerajaan mengumumkan PKP sehingga penghantaran jemaah haji ke Tanah Suci tertangguh. Nampaknya, saya terpaksa menerima hakikat hasrat ini (tunai haji) ditangguh lagi tahun ini,” katanya.