PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus fokus kepada tindakan-tindakan khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus Covid-19 di negara ini jesteru persoalan sama ada darurat diteruskan atau sebaliknya tidak harus timbul sama sekali.
Itu penjejasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini.
“Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari lalu oleh Yang di-Pertuan Agong adalah selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan iaitu asas tanggungjawabnya untuk menangani wabak Covid-19.
“Adalah menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat,” katanya.
Ujarnya, tempoh darurat atau tidak kelak akan mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat,” jelas beliau.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuat kuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan.
Beliau turut dilaporkan berkata bahawa kini hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos 2021 perlu diteruskan atau tidak.- K! ONLINE