KUALA KRAI – Tindakan pantas seorang nenek yang sempat menarik tangan cucunya berjaya menyelamatkan kanak-kanak berusia empat tahun itu daripada dipatuk seekor ular tedung selar di Kampung Kuala Pertang di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, Muhammad Amsyar Muharam Mohd. Doli dipercayai selesai membuang air kecil berhampiran kawasan reban ayam sambil ditemani neneknya, Norizan Ibrahim, 56.
Ibu kanak-kanak itu, Siti Naimah Zul Adnan, 29, berkata, ketika kejadian, dia baru habis membersihkan kawasan belakang rumah ibunya yang terletak tidak jauh dari reban ayam itu.
Menurutnya, bagaimanapun, dia terkejut melihat seekor ular sepanjang 3.9 meter yang sudah berdiri tegak melepasi ketinggian anaknya dari arah belakang.
“Saya terus menjerit sebelum ibu terus menyelamatkan Muhammad Amsyar.
“Alhamdulillah, ibu tidak panik dan dia sempat menyelamatkan anak saya daripada dipatuk reptilia berbisa itu, katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Siti Naimah memberitahu, dia kemudian terus menghubungi individu yang digelar Raja Ular Kuala Krai, Mohd. Hamdan Mahadi untuk mendapatkan bantuan. – K! ONLINE