TUMPAT – Sembilan lokasi di dua kawasan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini telah dipasang kawat berduri bagi mengekang sebarang pergerakan keluar dan masuk penduduk.
Pemasangan kawat itu melibatkan lima lokasi termasuk di Kampung Kutan Tengah, Mukim Wakaf Bharu dan empat lagi di Kampung Ketil, Mukim Pengkalan Kubor yang dilaksanakan PKPD bermula semalam hingga 24 Jun ini.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee berkata, pemasangan 45 gelung kawat duri itu dilakukan di laluan utama termasuk lorong tikus di dua lokaliti terbabit.
“Kita telah menempatkan dua pegawai dan 41 anggota 21 Rejimen Askar Melayu Diraja terbabit dalam tugasan pemasangan kawat semalam.
“Pemasangan kawat dijalankan bagi menyekat dan mengepung pergerakan penduduk di PKPD terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Abu Hasan Assha’ari berkata, seramai 307 anggotanya terbabit dalam gerak kerja untuk tugasan Ops Penawar dalam membantu pihak polis Kelantan.
Katanya, gerak kerja itu melibatkan aspek kawalan dan rondaan keselamatan di kawasan berisiko tinggi yang diisytiharkan sebagai PKPD.
Tambahnya, pemantauan turut dijalankan bagi melihat pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC). – K! ONLINE