LUMUT – Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari sampannya ketika sedang menangkap ikan di perairan Pulau Pangkor pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.10 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun dikatakan sedang menangkap ikan secara menangkul sebelum terjatuh ke dasar laut tidak jauh dari Terminal Jeti Pulau Pangkor.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, kejadian itu disedari oleh penduduk yang berada di jeti berhampiran sebelum memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor yang terletak tidak jauh dari situ.
“BBP Pulau Pangkor menghantar dua anggota penyelam bagi menyelamatkan mangsa dengan melakukan penyelaman secara bergilir-gilir.
“Selepas melakukan operasi antara lima hingga 10 minit, anggota penyelam berjaya menemui mangsa pada kedalaman kira-kira tiga meter di dasar laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mangsa dipercayai masih bernyawa ketika diselamatkan lantas dibawa terus ke jeti Jabatan Laut untuk diberi bantuan pernafasan (CPR), bagaimana pun usaha tersebut tidak berjaya apabila dia disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut Manakalaoperasi tersebut yang diketuai oleh Pegawai Bomba Shah Al Haffiz Mohd. Redzuan tamat pada pukul 9.53 pagi. – K! ONLINE