LONDON – Para pemain England dijanjikan bonus sebanyak £12 juta (RM70.02 juta) untuk dikongsikan sekiranya mereka berjaya membawa pulang kejuaraan Euro 2020.
Mengikut perjanjian pinjaman yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak England (FA England) dengan Bank of England sebanyak £175 juta (RM1.02 bilion) sebelum ini, mereka dilarang untuk memberi apa-apa bonus atau dividen sehingga selesai membayar segala hutang yang ditanggung.
Ini bermakna, sekiranya skuad The Three Lion berjaya merangkul kejuaraan pada saingan edisi kali ini, mereka hanya akan menerima bonus berkenaan paling awal pada September nanti.
Hadiah wang tunai berkenaan adalah yang paling tinggi dijanjikan kepada para pemain England yang menyertai kejohanan utama selepas Kesatuan Bola Sepak Eropah meningkatkan wang kemenangan keseluruhan yang bernilai £393 juta (RM2.29 bilion), peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding yang ditawarkan pada 2016 lalu.
Peningkatan wang kemenangan itu bergantung kepada perjalanan pasukan di mana mereka mampu meraih sehingga £30 juta (RM175.05 juta) jika berjaya meraih kemenangan dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan.
Kesemua 24 pasukan yang layak bertanding pada aksi Euro 2020 kali ini menerima wang tunai sebanyak £8.5 juta (RM49.60 juta) .
Mengikut peraturan dan perjanjian yang dibuat oleh FA England, mereka akan mendapat 60 peratus daripada wang kemenangan, manakala selebihnya akan dikongsikan oleh kesemua pemain dalam bentuk bonus.
Sekiranya England berjaya muncul juara, ia bermakna kesemua 26 pemain yang berada dalam skuad England bakal menerima bonus sebanyak £461,000 (RM2.68 juta) dan ia lebih sekali ganda berbanding £217,000 (RM1.26 juta) yang diterima mereka ketika berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 lalu.
Para pemain juga bakal menerima £2,000 (RM11,670) sebagai bayaran setiap perlawanan.
Selain itu, para pemain England yang diturunkan juga bakal menerima bayaran penampilan yang dianggarkan melebihi £10,000 (RM58,350). – AGENSI