PETALING JAYA – Pelakon dan pelawak Didie Alias tidak dapat menahan rasa sedih dan duka apabila kucing kesayangannya yang diberi nama Baby mati akibat sakit tua hari ini.
Menerusi satu hantaran video dalam Instagramnya, Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd@Ali, 49, menangis kesedihan mengenangkan Baby yang dibelanya selama 13 tahun sejak 2008 lalu itu telah pergi buat selama-lamanya.
“11 Jun 2021. Perjalanan terkahir buah hati mumy (mommy) dan keluarga. 12.37 tengah hari dia (Baby) tinggalkan kami satu keluarga.
“Kucing yang baik dan sangat manja untuk kami. Banyak kenangan dengan Baby,” tulisnya.
Ujar pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu lagi, Baby merupakan seekor kucing yang sangat setia dan akan menunggunya di depan muka pintu setiap hari.
“Tidak ada lagi yang tunggu mumy dan daddy (suami) dekat pintu bila kami balik kerja. Tak dapat nak mandikan Baby lagi.
“Tidak ada kawan lepak bila tengah buat kerja atau sedang baca skrip. Selama 13 tahun yang sangat indah buat mumy dan daddy. Sayang Baby sampai ke syurga,” luahnya.
Mengikut perkiraan, usia 13 tahun bagi seekor kucing adalah bersamaan dengan manusia yang berusia 68 tahun. -K! ONLINE