fbpx

Didenda RM35,000 tipu, menyamar pegawai SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Padah menipu seorang bekas setiausaha politik dengan menyamar pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang penganggur didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Md Nizam Md Yacob, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan Md Nizam dipenjara tiga tahun jika gagal membayar denda itu dan tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Md Nizam didakwa menipu seorang lelaki berusia 48 tahun dengan menyamar pegawai penyiasat SPRM dari Putrajaya sehingga mendorong mangsa mempercayai tertuduh dapat menyelesaikan kes mangsa yang akan dituduh oleh pihak SPRM.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan RM50,000 kepada tertuduh untuk menyelesaikan tuduhan dengan SPRM, sedangkan mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di joki kereta sebuah hotel di Jalan Putra, Chow Kit di sini pukul 11.26 pagi pada 9 November 2018 yang didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu Md Nizam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia tidak bekerja, menanggung keluarga serta menyesal dengan perbuatannya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda antara RM30,000 hingga RM40,000 kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain pengakuan salah tertuduh selepas pertuduhan kali pertama dibacakan. K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI