WASHINGTON, AMERIKA SYARIKAT – Objek terbang tidak dikenali (UFO) mempunyai kemampuan melebihi teknologi ketenteraan atau awam masa kini serta dikatakan pernah mengganggu fasiliti nuklear, lapor akhbar Daily Star semalam.
Dakwaan itu disuarakan bekas ketua sebuah agensi penyelidikan UFO Amerika Syarikat (AS), Luis Elizondo.
Dia berkata, objek asing tersebut pernah menyebabkan kemudahan nuklear tidak berfungsi sebelum ini.
“Pernah terjadi beberapa insiden di mana fenomena udara tidak dikenali (UAP) ini mengganggu dan mematikan fungsi keupayaan nuklear kita.
“UAP juga dilihat seperti ‘berminat’ dengan air, terutamanya senjata nuklear.
“Saya rasa sehingga kini, kita mempunyai data yang mencukupi bagi menggambarkan ia berminat dengan teknologi nuklear serta berpotensi untuk mengganggu teknologi tersebut,” katanya kepada akhbar Washington Post.
Tambah Elizondo, walau apa jua di sebalik fenomena UAP tersebut, teknologi yang dimiliki UFO ternyata di luar jangkaan manusia.
“Pertama sekali adalah teknologi halaju hipersonik, iaitu kelebihan untuk mengubah arah secara pantas.
“Kemampuan bergerak berkelajuan tinggi objek tersebut tidak menyamai mana-mana keupayaan pesawat ketenteraan kerana ia pernah dilihat melakukan pusingan 90 darjah pada kelajuan hipersonik,” ujarnya.
Menurut Elizondo, terdapat tiga kebarangkalian yang boleh menjelaskan fenomena UAP.
“Sama ada ia merupakan projek ketenteraan AS, teknologi canggih dari musuh asing atau sesuatu yang benar-benar berbeza,” katanya. – AGENSI