fbpx

‘Janji bawa turun malam ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK Ariff hadir ke kediaman penghuni buat kali kedua di Flat Bukit Gedung, Bayan Baru di sini petang tadi.

GEORGETOWN – Penghuni lelaki yang menjadikan koridor luar rumahnya di flat Bukit Gedung, Bayan Baru di sini sebagai tempat longgokan barang lusuh diberi masa kurang enam jam untuk mengangkat dan membersihkan kawasan kaki lima itu sebelum tengah malam ini.

Kediaman lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu sekali lagi dikunjungi Pengarah Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Nik Ariff Long Dir kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Kehadirannya buat kali kedua itu selepas penghuni terbabit dikatakan langsung tidak mengendahkan arahan pembersihan oleh pihak berkuasa tempatan dalam tempoh tiga hari mulai Sabtu lalu.

Pihak berkuasa berkenaan juga terpaksa mengetuk pintu rumah lelaki itu berkali-kali sebelum dibukanya dalam tempoh 15 minit.

Nik Ariff berkata, pihaknya memberi masa sehingga tengah malam ini kepada penghuni terbabit untuk membersihkan kawasan koridor itu termasuk membawa turun kesemua barangan lusuh serta sampah sarap yang dilonggok di hadapan rumahnya.

Menurutnya, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk melupuskan kesemua barangan tersebut sekiranya penghuni masih ingkar dengan arahan pihak berkuasa pagi esok.

“Tempoh tiga hari yang diberikan kepada penghuni itu telahpun berakhir Selasa lalu dan dia (penghuni) dikatakan meminta lagi penangguhan sehingga semalam (Khamis).

“Hari ini, saya dapati dia masih ingkar dengan arahan yang dikeluarkan dan saya memutuskan untuk datang sekali lagi dan melihat sendiri kerja-kerja pembersihan dilakukannya selama tempoh hampir dua jam,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan tindakan penghuni terbabit yang melonggokkaan barangan lusuh sejak tiga bulan lalu di koridor hadapan rumahnya telah mendatangkan kebimbangan penduduk flat berkenaan.

Rata-rata penduduk risau sekiranya barangan lusuh seperti kerusi besi dan meja kayu yang ditimbun hingga mencecah siling koridor terjatuh ke bawah sehingga boleh mencederakan orang ramai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI