SCITUATE, MASSACHUSETTS – Sebuah rumah pantai di Massachusetts, Amerika Syarikat menjadi perhatian pembeli kerana kedudukannya yang hanya beberapa meter dari laut, lapor portal MailOnline semalam.
Kediaman digelar ‘Summer Wind Beach House’ itu diiklankan untuk dijual di laman web jualan hartanah, Zillow, pada harga AS$929,999 (RM3.8 juta).
Dengan binaan seluas 156 meter persegi, kediaman tersebut menawarkan tiga bilik tidur dan dua bilik air selain ciri unik utamanya adalah pemandangan Pantai Mesir dan Pantai Mann Hill.
“Dari terbit hingga terbenamnya matahari, pembeli boleh menikmati pemandangan indah lautan setiap hari.
“Jika melangkah ke pintu hadapan, anda dapat menikmati pemandangan indah lautan, dan jika melangkah ke bahagian dek rumah, anda dapat merasai hembusan angin laut,” tulis iklan hartanah tersebut.
Kediaman dua tingkat itu dibina di atas beting pasir pantai dengan mempunyai tangga untuk menuju ke pintu utama.
Bahagian anjungnya pula menghadap pantai, dan berada pada kedudukan yang amat dekat sehingga dikatakan seseorang boleh melompat terus ke dalam air laut.
Iklan hartanah tersebut menerima pelbagai reaksi orang ramai dengan ada yang mengatakan bahawa rumah itu menakutkan dan berisiko tinggi.
“Saya pasti premium insurans rumah ini adalah yang paling menakutkan,” komen seorang pengguna.
“Saya berharap rumah itu boleh berfungsi seperti sebuah bot,” tulis seorang lagi pengguna.
Rumah yang dibina pada tahun 1979 itu bagaimanapun sehingga kini membuktikan kekukuhannya apabila ia masih teguh berdiri tanpa dihanyutkan ombak laut. – AGENSI