PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga daerah di Sabah dan satu di Kedah susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga kawasan di Sabah yang dikenakan PKPD adalah di Kampung Kadazan, Tawau; perkampungan dalam daerah Kota Kinabalu dan Taman Villa Felca Nambazan di Penampang, Sabah.
“PKPD di Kota Kinabalu akan melibatkan dua buah perkampungan iaitu di Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai.
“Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laporan situasi semasa kes Covid-19 telah mengesan berlakunya peningkatan kes positif di kawasan-kawasan tersebut dan setelah membuat penilaian risiko bersetuju untuk melaksanakan PKPD berkuat kuasa 13 Jun sehingga 26 Jun depan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD di Kedah pula akan melibatkan Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok.
“KKM telah mengesan peningkatan kes di situ apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan susulan saringan yang dilakukan ke atas 208 penghuni universiti tersebut selain kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“Susulan itu, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan yang juga akan berkuat kuasa bermula 13 Jun hingga 26 Jun depan setelah penilaian risiko dilakukan,” ujar beliau.
Tambah Ismail Sabri, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD tersebut adalah sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut mengenainya boleh diakses menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my. – K! ONLINE