LIPIS – Seekor kerbau dewasa seberat kira-kira 200 kilogram yang terjatuh ke dalam lubang najis di belakang sebuah rumah di Kampung Bapong di sini berjaya diselamatkan bomba hari ini.
Dalam kejadian awal pagi itu, kerbau berkenaan dipercayai terjatuh selepas lubang penutup najis itu pecah dipijak haiwan berkenaan.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, bomba yang menerima panggilan pada pukul 9 pagi mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan kerbau berkenaan.
“Pada permulaan operasi pihak bomba menggunakan kayu dan tali, tetapi sukar menaikkan kerbau berkenaan kerana berat dan ruangan pembentung najis yang sempit.
“Bomba kemudiannya meminta bantuan jengkaut untuk mengorek tanah dan memecahkan pembentung najis tersebut untuk memberi ruang mengeluarkan kerbau sebelum ditarik menggunakan tali oleh bomba dan penduduk kampung,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Shahrul Nizam, kerbau berkenaan yang selamat dikeluarkan hanya mengalami sedikit luka pada bahagian badan.-K! ONLINE